Kadar dividen KWSP gagal mengejar langkah inflasi

Pada dasarnya, kebanyakan rakyat Malaysia bergantung kepada wang simpanan (personal saving) sebagai sumber pendapatan selepas bersara.

Menurut hasil soal selidik The Nielson Company, sebanyak 68% rakyat Malaysia menjadikan wang simpanan sebagai pendapatan utama selepas bersara, dan hanya 20% bergantung kepada wang pencen syarikatnya, atau kerajaan.

Dalam satu lagi soal selidik Nielson, 62% rakyat Malaysia memilih untuk menyimpan baki pendapatan mereka dalam tabung, 42% memilih untuk menjelaskan hutang (termasuk kad kredit dan pinjaman); 35% membelanjakannya untuk pelancongan; 32% memilih untuk melabur dalam saham atau tabung amanah; kira-kira 30% pula membelanjakannya untuk peralatan teknologi baru.

Apa yang baiknya, kebanyakan rakyat Malaysia mempunyai amalan menabung – langkah permulaan yang penting untuk menyimpan wang pencen yang mencukupi.

Tetapi, persoalannya, dalam keadaan di mana inflasi semakin melonjak, rakyat Malaysia perlu menyimpan lebih banyak wang untuk menampung kehidupan selepas  persaraan.

Inflasi menghakis keupayaan menabung
Bagaimanapun, menabung bukan sesuatu perkara yang mudah untuk seseorang warga kota yang biasa.  Pertama, pendapatan warga kota meningkat pada kadar yang amat perlahan, malah langsung gagal mengejar langkah inflasi.

Pendapatan keluarga di Kuala Lumpur dan Selangor hanya meningkat pada purata kadar 1.8% dan 2.9%, antara tahun 2004 hingga 2009; namun, inflasi negara mencapai purata kadar 3.4% dalam lima tahun ini, malah lebih tinggi di bandar (sekurang-kurangnya 6%).

Dengan kata lain, nilai pendapatan sebenar warga kota bukan sahaja tidak meningkat untuk beberapa tahun kebelakangan ini, malah menyusut!  Pada masa yang sama, keupayaan warga kota untuk menabung kini sedang dihakis secara beransur-ansur.

Keduanya, wang pencen yang disimpan untuk kehidupan selepas bersara, pulangannya juga gagal menandingi langkah peningkatan inflasi.  Mengambil contoh simpanan tetap di bank, faedahnya hanya kira-kira 3% – bukan sahaja lebih rendah daripada paras inflasi yang diumumkan secara rasmi (3.5% pada Jun), malah jauh ketinggalan di belakang paras inflasi di kota yang sebenar (sekurang-kurangnya 6%).

Seandainya jarak sedemikian berkekalan, maka wang simpanan untuk 20 tahun kemudian meskipun bertambah dari segi angka, tetapi menyusut dari segi nilai – langsung tidak mampu untuk menampung kehidupan selepas persaraan.

Malah, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (EPF) yang menawarkan pulangan dividen yang lebih tinggi, turut mengalami penyusutan dari segi kadar dividennya – sehingga gagal berperanan untuk mengimbangi inflasi.

Kadar dividen EPF dalam 10 tahun kebelakangan telah menurun sehingga paras 4.5% hingga 5.8%, jauh ketinggalan berbanding kadar dividen pada 7.5% hingga 8% sebelum kemelut kewangan pada tahun 1997.

Seandainya perhitungan dibuat berdasarkan kadar inflasi 6% (di kawasan bandar), EPF kita sebenarnya menyusut untuk 10 tahun kebelakangan ini.

Kos kehidupan yang tinggi
Ketiga, kos kehidupan bandar meningkat secara mendadak – kos perumahan, kereta, perubatan dan sebagainya yang tinggi menyebabkan ramai yang berhutang, lantas menghakis keupayaan warga kota untuk menabung.  Soal selidik Nielson mendapati 42% rakyat Malaysia menggunakan baki pendapatannya untuk menjelaskan hutang (termasuk kad kredit dan pinjaman).  Dengan kata lain, pendapatan yang boleh digunakan untuk menabung, kini digunakan untuk melangsaikan hutang.

Sehingga akhir tahun 2010, hutang keluarga negara kita telah mencecah paras RM581 bilion, bersamaan 80% nilai Keluaran Dalam Negeri Kasar (GDP), negara kedua tertinggi di rantau Asia.
Antaranya, hutang kad kredit meningkat pada purata kadar 16.4% antara tahun 2000 hingga Ogos 2010, menjadi hutang yang bertambah paling mendadak, jauh di depan hutang perumahan dan kereta.  Sehingga September 2010, hutang kad kredit yang belum dilangsaikan telah mencecah paras baru, iaitu RM29 bilion.

Beberapa tahun kebelakangan ini, kos perubatan yang mahal menjadi antara perkara yang amat membebankan dalam hutang kad kredit.  Menurut statistik AKPK, kos perubatan yang terlalu tinggi menjadi punca utama 26% penghutang gagal selesaikan hutang keluarganya.

Selain itu, program pengendalian hutang yang dijalankan AKPK mendapati 74.3% orang berdepan dengan hutang perumahan, kereta dan kad kredit.  Lebih penting, krisis hutang keluarga menunjukkan pola di mana golongan yang ditimpa masalah ini semakin muda usianya.  43.8% berada pada lingkungan usia 30 hingga 40 tahun, dan 15.5% berada pada lingkungan 20 hingga 30 tahun.

Warga kota mula mengetatkan perbelanjaan
Dalam era “inflasi” melambung, selain meneroka saluran pendapatan melalui waktu kerja tambahan (OT), bertukar syarikat, kerja sambilan dan sebagainya, kini wujud juga kecenderungan untuk “berjimat”.

CSI daripada MIER menunjukkan sentimen konsumer memperlihatkan penurunan pada skala yang kecil dalam musim kedua tahun ini, lantaran daripada melambungnya inflasi.  Meskipun momentum konsumerisme dikekalkan, namun pengguna lebih berhati-hati ketika berbelanja.  Consumer Price Index (CPI) meningkat sehingga paras 3.5% pada Jun, mencipta rekod penambahan paling cepat dalam tempoh dua tahun ini.

Pada masa yang sama, laporan soal selidik The Nielson Global Online Survey menunjukkan bahawa tekanan inflasi yang meningkat lantaran rasionalisasi subsidi, yang menjurus kepada kenaikan harga bahan api dan makanan, telah menjadi dua perkara yang paling dikhuatiri pengguna di Malaysia.
Menurut laporan tersebut, 84% pengguna sanggup menukar cara hidup mereka untuk menjimatkan perbelanjaan keluarga, termasuk mengurangkan perbelanjaan untuk membeli pakaian baru, hiburan, gas, air dan elektrik.  Selain itu, semakin ramai yang membeli barangan tidak berjenama, yang secara perbandingannya lebih murah.

Satu lagi laporan menunjukkan bahawa rakyat Malaysia adalah pengguna yang paling sensitif dengan harga barang, di kalangan negara rantau Asia Tenggara.  Mereka didapati lebih cenderung untuk membandingkan harga, dan senang dipengaruhi dengan “jualan murah”.

Sebanyak 86% pengguna mudah dipengaruhi aktiviti jualan murah, 65% bersikap proaktif untuk mencari kedai jualan murah, dan dua daripada 10 orang pengguna akan mengalih ke kedai lain berikutan jualan murah.

*Neo Chee Hua ialah Assistant Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina.  Diterjemah dan disunting dari teks asal.

Pesanan daripada kawan aku : Saya boleh tawarkan satu peluang untuk mengatasi masalah kesan inflasi dengan melaburkan sebahagian KWSP anda ke dalam unit amanah yang boleh memberikan kadar pulangan yang lebih tinggi setiap tahun.

Matlamat utama adalah ketenangan fikiran apabila bersara kelak dengan mengetahui yang dana persaraan kita mampu untuk membiayai perbelanjaan di usia emas.
Hubungi saya sekarang untuk maklumat lanjut

Credit to : Blog Bigfish

No comments: