Kes Mahkamah : Enam Ahli KWSP Disabit Kesalahan Menipu Pengeluaran

Enam ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah disabit kesalahan oleh mahkamah di antara bulan Oktober dan Disember 2011 (Suku Tahun Keempat 2011) di bawah Seksyen 59, Akta KWSP 1991 kerana terlibat dalam penipuan pengeluaran.

Ahli terbabit telah didapati bersalah dan didenda berjumlah RM5,900 oleh mahkamah atas kesalahan melibatkan pengeluaran perumahan dan hilang upaya di mana lima daripada mereka berkemungkinan dipenjarakan sehingga satu bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Encik Nik Affendi Jaafar berkata, “KWSP ingin mengingatkan ahli  bahawa tujuan menyimpan dengan KWSP adalah untuk memastikan keperluan asas kewangan bagi persaraan ahli boleh dicapai. Sebarang cubaan untuk mengeluarkan simpanan mereka  secara tidak sah adalah bercanggah dengan tujuan utama menyimpan dengan KWSP kerana akhirnya ahli juga yang  akan rugi.”

Di antara Januari dan Disember 2011, sebanyak 52 saman mahkamah telah difailkan terhadap ahli KWSP yang terlibat dengan penipuan pengeluaran. Pada 2011, sejumlah 47 ahli telah didapati bersalah oleh mahkamah di bawah seksyen yang sama kerana menipu pengeluaran perumahan, hilang upaya dan kesihatan sementara 13 kes lagi sedang dalam tindakan mahkamah.

“Sebagai pihak yang bertanggungjawab ke atas simpanan ahli, adalah menjadi tugas KWSP untuk memastikan simpanan itu sentiasa dilindungi. Dengan itu, KWSP tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap ahli yang melanggar undang-undang,” tegas beliau.

Di bawah Akta ini, ahli yang didapati bersalah melakukan penipuan atau cubaan menipu pengeluaran boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali. Mereka yang disabitkan kesalahan tetapi memulangkan wang yang dikeluarkan dalam tempoh enam bulan dari tarikh sabitan, mereka hanya dibenarkan memohon di bawah pengeluaran yang sama selepas tempoh dua tahun dari tarikh wang tersebut dipulangkan. Manakala bagi ahli yang tidak memulangkan wang tersebut, mereka akan hilang hak bagi membuat pengeluaran yang sama selama-lamanya.

Nik Affendi menjelaskan penipuan pengeluaran membabitkan penyerahan dokumen palsu oleh ahli bagi mendapatkan kelulusan pengeluaran daripada akaun KWSP mereka sendiri.
“Ahli diingatkan bahawa KWSP mempunyai proses yang ketat dan sistem yang berupaya mengesan sebarang cubaan menipu atau menipu pengeluaran walaupun selepas simpanan itu berjaya dikeluarkan,” kata beliau.

Ahli yang layak dan ingin membuat pengeluaran KWSP dinasihati mengunjungi cawangan KWSP yang terdekat, tanpa perlu melalui pihak ketiga atau sindiket yang akan mengambil kesempatan terhadap ahli dengan menawarkan kononnya bantuan untuk mengeluarkan simpanan KWSP mereka dengan mengenakan caj yang tinggi.

“Sindiket ini hanya bertujuan untuk menipu ahli supaya mengeluarkan simpanan KWSP mereka secara tidak jujur. Oleh itu, KWSP menyeru sesiapa yang ingin melaporkan kes penipuan pengeluaran supaya menghubungi talian Anti-Fraud KWSP di 03-2616 2121 pada waktu pejabat, Isnin hingga Jumaat,” kata Nik Affendi.

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah dana simpanan persaraan terulung di Malaysia yang menyediakan jaminan asas kewangan bagi persaraan. KWSP sentiasa komited dalam menjamin dan meningkatkan simpanan ahlinya melalui amalan terbaik pelaburan dan tadbir urus korporat. Langkah berhemah sentiasa menjadi panduan dalam setiap keputusan pelaburannya.

Sebagai sebuah organisasi yang berfokuskan pelanggan, KWSP memberikan perkhidmatan yang cekap dan berkesan untuk keselesaan ahli dan majikan berdaftar.

KWSP akan terus memainkan peranannya sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi negara, selaras dengan kedudukannya sebagai institusi simpanan terkemuka di Malaysia.

Tarikh : 25 Januari 2012
Sumber : Laman Web KWSP

P/S U2Consultant : Berhati-hati dengan sebarang penipuan. Elakkan daripada anda berurusan dengan orang ketiga dan seeloknya berurusanlah dengan mereka yang berkelayakan atau terus ke pejabat KWSP berdekatan anda.

No comments: