>> Mitos Pelaburan

Terdapat beberapa salah anggap yang patut diketahui oleh pelabur unit amanah. Bacalah seterusnya untuk mengetahui cerita sebenar di sebalik tujuh mitos biasa dalam pelaburan unit amanah.



1. Masa paling baik untuk melabur ialah ketika pengagihan dividen dan bonus hampir hendak diumumkan


Tidak benar. Jika ejen unit amanah menasihatkan anda supaya melabur dalam unit amanah kerana bayaran dividen dan bonus akan dibayar tidak berapa lama lagi dan anda akan mendapat keuntungan segera, fikir baik-baik. Anda perlu mengetahui perkara yang terbabit dalam pengagihan bonus dan dividen unit amanah. Bonus akan meningkatkan jumlah unit dalam dana tersebut. Misalannya, pelaburan anda dalam suatu dana berharga RM1 satu unit dan anda melabur RM1,000 bagi 1,000 unit. Dana itu kemudiannya memberikan bonus sebanyak satu unit bagi setiap satu unit yang anda miliki (bonus satu-untuk-satu). Selepas itu, anda memiliki 2,000 unit. Tetapi unit tambahan itu tidak menaikkan nilai pelaburan anda kepada RM2,000. Nilainya kekal RM1,000 kerana unit tambahan itu sebenarnya mengurangkan nilai unit anda daripada RM1 kepada RM0.50 (RM1,000 dibahagi dengan 2,000 unit). Begitu juga, jika dana anda mengumumkan dividen sebanyak 5% atau RM0.05, nilai unit anda akan berkurangan daripada RM1 kepada RM0.95 selepas dividen diagihkan. Dividen itu tidak akan menaikkan nilai unit anda kepada RM1.05. Jadi, melabur sebelum bayaran dividen atau bonus diumumkan bukanlah cara untuk mendapat keuntungan segera. Sentiasa berfikir jangka panjang ketika melabur dalam unit amanah.

2. Sentiasa pilih dana yang dahulunya memberikan anda pulangan tinggi
Tidak benar. Prestasi lalu tidak menggambarkan prestasi masa akan datang. Pelabur tidak harus melihat kepada rekod prestasi lalu untuk meramalkan prospek akan datang. Kaji strategi pelaburan dan pengagihan aset dana tersebut untuk memantapkan keputusan pelaburan anda. Pada umumnya, pengagihan aset mempunyai sumbangan penting kepada pulangan keseluruhan dana.

3. Semua dana unit amanah sama
Tidak benar. Terdapat pelbagai dana dengan objektif pelaburan yang berbeza-beza. Setiap satu mempunyai ciri-ciri dan elemen risiko yang berbeza. Pelabur MESTI membaca prospektus dana untuk mempelajari dana tersebut dan harus menimbangkan untuk memilih dana yang sejajar dengan keperluan pelaburan dan profil risiko mereka. Anda mungkin melabur dalam dana yang salah jika anda fikir semua dana unit amanah sama.

4. Pulangannya hanyalah dividen
Tidak benar. Pelabur boleh mengukur prestasi pelaburan mereka dalam unit amanah melalui pelbagai cara. Ini lazimnya meliputi pengiraan untung modal (jumlah selepas harga jualan ditolak harga belian) atau jumlah pengagihan yang diterima daripada dana. Bagaimanapun, kaedah paling berkesan dalam mengukur prestasi ialah dengan memasukkan kedua-duanya sekali. Pengukuran prestasi ini dipanggil pulangan keseluruhan kerana membabitkan semua sumber pendapatan iaitu dividen dan untung modal (atau rugi).

5. Unit amanah ialah akaun simpanan dan bebas daripada risiko

Tidak benar. Pelaburan dalam unit amanah tidak sama dengan menyimpan wang anda dalam akaun simpanan. Jika anda melaburkan RM1,000, anda mestilah bersedia menerima hakikat bahawa ada kemungkinan akhirnya wang anda itu berkurangan daripada jumlah yang anda laburkan. Ini kerana pelaburan anda terdedah kepada risiko dan anda mungkin menanggung kerugian disebabkan oleh risiko tersebut. Semua bentuk pelaburan mempunyai tahap risikonya sendiri dan pelabur mestilah bersedia untuk menerima risiko tersebut.

6. Percaya kepada hanya satu syarikat pengurusan sahaja

Tidak benar. Bukan semua dana daripada syarikat pengurusan yang sama memberikan prestasi atau pulangan yang sama kerana dana tersebut mungkin mempunyai objektif pelaburan yang berbeza-beza dan kerana itu, mempunyai elemen risiko dan pendedahan yang berlainan. Bergantung kepada keadaan pasaran, setiap dana mempunyai prestasi berlainan walaupun syarikat pengurusan yang sama menguruskannya.

7. Kata-kata ejen anda semuanya benar
Tidak benar. Sentiasa semak apa sahaja yang dikatakan oleh ejen anda. Jika anda tidak jelas atau merasakan bahawa apa yang dikatakannya itu terlalu sukar untuk dipercayai, kemukakan seberapa banyak soalan yang anda mahu. Soalan yang anda fikir “bodoh” mungkin sebenarnya soalan penting untuk mengumpulkan lebih banyak maklumat. Pada masa yang sama, buat kajian dan dapatkan sebanyak mana maklumat yang boleh untuk membantu anda membuat keputusan yang bermaklumat. Jangan melabur sehingga anda puas hati dengan maklumat yang diberikan kepada anda. Ingatlah bahawa anda yang sebenarnya bertanggungjawab ke atas keputusan pelaburan yang anda lakukan dan bukannya ejen anda.

P/S: Jika artikel ini menarik sila kongsikan kepada rakan-rakan anda dengan sharekan di Facebook atau Tweeter. TQ 

No comments: